Shafie Apdal: Sabah Berpotensi Kuasai Ekonomi Dengan Aset Sumber Asli

1657

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yakin Sabah akan muncul sebagai satu kuasa ekonomi yang kuat sekiranya aset-aset yang ada di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sabah mempunyai segala-galanya untuk muncul sebagai satu kuasa ekonomi. Aset utamanya adalah keluasan tanah untuk aktiviti pertanian dan perladangan, sumber alam yang banyak disamping keindahan alam semulajadi dan kepelbagaian masyarakat yang menjadi daya tarikan sektor pelancongan.

“Jika segala perancangan berjalan lancar, Sabah bukan sahaja akan menjadi antara negeri yang pesat membangun, malah tiada kumpulan rakyat yang akan ketinggalan dalam menikmati arus pembangunan dan kemajuan negeri.

“Sehubungan itu, rakyat perlu membuka mata dan merebut peluang yang ada untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negeri ini,” katanya ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H/2018, di sini pada Selasa.

SHAFIE APDAL

Menurutnya, sejajar dengan perjuangan Rasulullah SAW mensejahterakan ummah, maka kerajaan komited untuk memacu pembangunan negeri ini ke tahap lebih baik daripada hari ini agar lebih berdaya saing, dinamik, makmur dan mensejahterakan kehidupan rakyat secara menyeluruh.

Shafie berkata, kesatuan dan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan adat resam di negeri ini menjadi kunci kepada kepesatan pembangunan negeri.

Proses pengukuhan perpaduan rakyat hendaklah terus dilaksanakan kerana peredaran masa membawa bersama pelbagai cabaran baru yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Kita mesti sentiasa bersatu bagi memastikan segala perancangan yang sudah dirangka dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shafie juga mengingatkan badan-bdang kegamaan di negeri ini supaya sentiasa bekerjasama bagi menyebarkan syiar Islam.

“Sudah sampai ketikanya kita mengorak langkah supaya badan-badan Islam bersama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersatupadu dalam usaha meletakkan Islam ditempat sepatutnya.

“Seiring dengan itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan USIA mengenepikan perbezaan politik dan pendapat untuk menyebarkan syiar Islam agar agama ini terus digeruni dan disegani,” jelasnya.

Dengan itu, beliau menyarankan agensi keagamaan kerajaan bekerjasama dengan badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyebarkan syiar Islam.