Shafie Apdal: Pengeluaran Lesen Laut Dalam Perlu Kelulusan Negeri

405
Ketua Menteri merasmikan Pesta Nelayan 2018 di Menumbok pada Ahad.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
MENUMBOK: Kerajaan Negeri akan berunding dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menyusun semula pengeluaran lesen menangkap ikan laut dalam di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dalam masa terdekat ini, beliau akan meminta kementerian itu supaya melihat semula kerangka prosedur dalam pemberian lesen berkenaan.

“Sebarang kelulusan diberi Kerajaan Pusat perlu mendapat kelulusan mahupun persetujuan Kerajaan Negeri Sabah kerana kita lebih tahu nelayan yang ada di Sabah serta keupayaan dan kawasan mereka menangkap ikan.

“Langkah ini bukan hanya membolehkan kita menyusun atur pemberian lesen kepada nelayan tetapi juga akan membantu mengawal aktiviti penangkapan ikan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Nelayan ke-18 di Mempakul, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, jika perundingan itu berjaya, mana-mana nelayan yang tidak mendapat kelulusan dari kerajaan negeri tidak lagi boleh menangkap ikan di perairan Sabah.

Shafie juga mengingatkan nelayan di negeri ini supaya tidak menggunakan pukat dengan mata jaring yang terlalu kecil hingga menyebabkan anak-anak ikan turut ditangkap.

Shafie Apdal disambut orang ramai pada ketibaannya di Mempakul,.

Beliau berkata, pemantauan dan pengawasan terhadap kemasukan kapal nelayan asing seperti dari China dan Vietnam juga akan dipertingkatkan bagi memastikan sumber mata pencarian nelayan tempatan tidak akan pupus.

Jika terlalu banyak tangkapan ikan tidak tersusun maka, hasil tangkapan ikan nelayan tempatan akan turut terjejas.

Seiring dengan langkah meningkatkn pendapatan nelayan, Shafie juga mahu industri hiliran dalam sektor perikanan dibangunkan.

“Usaha meningkatkan kehidupan nelayan bukan hanya dalam menyediakan kemudahan tetapi juga, memastikan pendapatan mereka sentiasa terjamin. Oleh itu, penting untuk kita pastikan industri hiliran dalam sektor perikanan ini dibangunkan.

“Tiada guna kita tangkap ikan sekiranya kita tidak boleh membangunkan kilang sardine. Penting bagi kia meningkatkan data upaya kita,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan nelayan yang hadir dalam pesta itu supaya tidak menangkap ikan dengan mengebom ikan kerana tindakan itu akan memusnahkan batu karang yang menjadi rumah kepada pembiakan ikan.

Atas sebab itu, Jabatan Perikanan harus bekerjasama dengan agensi persekutuan dalam meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal aktiviti pengeboman ikan di Sabah.

Ditanya tentang perkembangan pembinaan Kompleks Ko-Nelayan Kuala Penyu, Shafie berkata, kelulusan projek itu sudah diberikan namun, ia mungkin mempunyai masalah berkaitan tanah atau tapak pembinaan yang tidak sesuai.

Katanya, beliau sendiri akan pantau pembinaan kompleks itu dalam memastikan ianya dapat dijayakan.