Shafie Apdal: Parti Warisan Sedia Terima Bekas Wakil Rakyat Umno

2279
Shafie Apdal menerima borang keahlian dari Saddi, dua dari kiri, dan Fatimah Shara serta Zaiton OKK Anik, sambil disaksi oleh pemimpin Warisan seperti Peter Anthony, Junz Wong, Safaruddin Hata, Adzhar Matussin, Arifin Asgali dan Nordin Ening.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) bersikap terbuka dalam menerima bekas wakil rakyat Umno yang ingin menyertai parti itu asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau bersedia menerima sesiapa sahaja kerana apa yang penting adalah kesepaduan yang akan membantu dalam pembangunan di Sabah.

“Sudah tentu (terima). Tapi kita akan lihat macam mana. Apa yang penting rakyat perlu bersatu untuk membangunkan Sabah.

“Jika berpecah bagaimana mahu bangunkan Sabah …. banyak kebaikan yang diperolehi jika ada kesepaduan,” katanya ketika ditanya sekiranya beliau bersedia menerima kemasukan 14 wakil rakyat Umno yang keluar parti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Borang Kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman ke dalam Parti Warisan Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Rabu.

Keutamaan kita adalah kepada perpaduan dan penyatuan dalam kalangan rakyat – Ketua Menteri

Mohd Shafie juga menyambut baik kenyataan mantan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor yang menyatakan tanda sokongan kepada Kerajaan Pusat (Pakatan Harapan) dan Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Warisan.

“Saya berterima kasih kepada Hajiji. Saya mengenalinya sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan saya ucapkan terima kasih di atas kenyataannya yang menyokong Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Kemudian apabila ditanya jika ada bekas wakil rakyat Umno yang sudah mendekati Warisan, beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian apabila sudah tiba masanya kerana beliau tidak mahu menyatakan sesuatu yang masih belum pasti.

Menurutnya, beliau hanya menunggu apa yang diputuskan oleh bekas wakil rakyat Umno itu kerana beliau percaya keputusan meninggalkan parti Umno itu dibuat setelah mereka berfikir panjang tentang hala tuju politik yang mereka akan sertai.

“Saya yakin ketetapan itu amat bertepatan bagi mereka untuk putuskan kerana mereka menyedari hakikat bahawa Umno tidak lagi mempunyai kesatuan.

“Namun, setakat ini mereka tidak menyatakan apa-apa (kepada Warisan), mereka cuma menyatakan akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinan Warisan,” jelasnya.

Barisan pemimpin Umno dari kiri – Amisah Borhan, Zakaria Edris, Masidi Manjun, Hajiji Mohd Noor, Ronald Kiandee.

Mengenai kemasukan Saddi ke dalam Warisan, Mohd Shafie berkata, Saddi menyertai Warisan kerana beliau percaya bahawa Warisan mampu membela nasib rakyat Sabah.

Beliau mengalu-alukan penyertaan Saddi dalam Warisan kerana beliau yakin dibawah landasan Warisan, nasib rakyat di kawasan Sukau akan terbela.

“Keutamaan kita adalah kepada perpaduan dan penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Saya yakin sebagai ahli politik yang berpengalaman, Saddi dapat membantu menyatupadukan rakyat di kawasan DUN berkenaan. Malah, selaku wakil rakyat yang sudah dikenali beliau akan dapat melaksana tugas dengan sebaiknya,” jelasnya.

Turut hadir menyerahkan borang kemasukan menyertai Warisan adalah bekas Naib Ketua Bahagian Umno Kota Kinabalu Fatimah Shara Ahmad Noor dan bekas Ketua Wanita Umno Pensiangan Zaiton OKK Anik.

Pada petang Rabu, lima Ahli Parlimen dan sembilan Adun termasuk Hajiji mengumumkan keluar dari Umno.

Ahli Parlimen yang keluar itu adalah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Zakaria Idris (Libaran),Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Hafez Yamani Musa (Sipitang).

Selain Hajiji, lapan Adun yang turut meninggalkan Umno adalah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Nizam Titingan (Apas), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), dan Matbali Musah (Lumadan).

BERITA BERKAITAN: –

UMNO Sabah Lumpuh, Pemimpin Umum Keluar Parti Beramai-Ramai