Shafie Apdal Mahu Industri Halia Tambunan Dibangunkan

449

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata industri penanaman halia di Tambunan perlu diperbesarkan lagi kerana mempunyai potensi yang tinggi untuk meningkatkan ekonomi daerah dan menjana pendapatan penduduk tempatan.

Ketua Menteri berkata, beliau akan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melihat perkara itu untuk direalisasikan kerana tanaman halia yang sedia ada di Tambunan sangat berkualiti untuk dipasarkan.

Katanya, perkara paling penting yang perlu diambil perhatian ialah penduduk kampung perlu dilibatkan agar faedah ekonominya nanti dapat dinikmati.

Shafie beramah mesra bersama Pairin selepas Majlis Pelancaran Kampus Kolej Komuniti Tambunan yang baharu di sini.

“Saya ada sebutkan tentang penanaman halia jadi kalau kita mahu boleh lahirkan industri halia di daerah Tambunan sama seperti saya minta dilihat keupayaan daerah Sipitang untuk pengeluaran buluh.

“Saya minta Menteri Pertanian lihat perkara ini macam mana dapat direalisasikan, cuma yang penting mesti libatkan penduduk tempatan saya mahu orang sini mendapat faedahnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kampus Kolej Komuniti Tambunan yang baharu di sini.

Tambunan merupakan daerah pengeluar utama halia di Sabah, namun pengeluarannya belum dibuat secara besar-besaran untuk dieksport.

Mohd. Shafie berkata, Sabah kini masih banyak mengimport pelbagai sayur-sayuran dari luar negara, justeru halia boleh dijadikan produk eksport negeri.

Terdahulu hari ini, Mohd. Shafie turut melancarkan majlis pecah tanah di tapak pembinaan Mahkamah Anak Negeri Tambunan yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Katanya, mahkamah bernilai RM6 juta itu akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kampung tentang pertikaian tertentu tanpa mengganggu urusan di Pejabat Daerah.

“Usaha ini cukup baik supaya masyarakat tidak perlu bersesak di Pejabat Daerah, nanti akan bertembung dengan perkhidmatan lain yang diperlukan penduduk kampung.

“Jadi kita rancang tempat sesuai untuk Mahkamah Anak Negeri ini mesti dibina tapi saya mahu mesra pengguna bukan sahaja cantik tapi orang kurang upaya (OKU) naik tangga susah, bukan saja orang muda tapi orang tua umur 90 tahun pun mahu naik tangga,” tambahnya.