Shafie Apdal Lahir Kekecewaan, Peruntukan Esscom Tidak Cukup

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal melahirkan kekecewaan terhadap peruntukan untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang menerima RM17 juta menerusi Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2019.

Beliau berkata, peruntukan sebegitu tidak mencukupi untuk menggerakkan semua bot laju dari Semporna sehingga Kudat.

“Bagaimanapun, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri hujung minggu ini untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan Sabah supaya kita bukan hanya perolehi dana tetapi juga mendapat sokongannya,” katanya.

Menurutnya, biarpun beliau sangat lantang dalam menyuarakan kepentingan berkaitan Sabah bukan bermakna beliau tidak sayangkan negara ini.

SHAFIE APDAL

Beliau sayang dengan Malaysia tetapi dalam soal isu royalti minyak 20 peratus yang perlu dibayar melalui pendapatan kasar, Sabah berhak untuk memperolehinya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai rakan sekutu kepada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebagai wilayah berhak menerima lebih daripada itu. Bulan slogan yang kita mahukan, kita mahukan intipatinya.

“Jika Petronas melaksana program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hanya sekelompok orang sahaja mendapat manfaat. Tetapi jika tuntutan 20 peratus royalti itu ditunaikan, 4juta rakyat Sabah akan mendapat manfaat daripadanya. Itulah jalan menuju ke hadapan bagi membina sebuah negara.

“Kita bukan minta 100 peratus, kita hanya minta 20 peratus yang memang milik kita. Sumber minyak, gas dan balak semuanya datang dari Sabah dan isu ini perlu dilihat secara serius,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie juga mahu penggiat industri dalam MICCI supaya bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha pembangunan di Sabah dapat diteruskan.

“Penting untuk kita bekerjasama dengan MICCI, bukan hanya memastika mereka dapat menjana pendapatan tetapi juga memastikan mereka menggunakan wang yang ada untuk melabur dalam pembangunan industri di negeri ini.

“Tidak kira sama ada ia industri hartanah, pelancongan mahupun pertanian asalkan ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” jelasnya.