Shafie Apdal Ketua Menteri Pertama Jejak Kaki Di Pulau Berhala

4771

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Senyuman lebar terukir di bibir Hamid Estarael pagi ini ketika bersama rakan-rakannya berkumpul di jeti Kampung Pulau Berhala.

Sebagai penduduk jati di pulau itu, Hamid, 67, tidak pernah berasa begitu teruja menyambut kehadiran pengunjung, namun hari ini amat istimewa apabila pemimpin nombor satu Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertandang ke situ.

HAMID ESTARAEL

Menurut Hamid, sejak perkampungan itu dibuka 60 tahun lalu, belum pernah ada seorang pun Ketua Menteri yang sudi melawat mereka, kalau ada pun cuma wakil rakyat yang datang untuk meraih undi pada musim pilihan raya.

“Syukur alhamdulillah, sebelum saya menutup mata sempat juga bersalam dan melihat sendiri seorang pemimpin yang begitu penyayang menjejakkan kaki di tempat kami.

“Sebelum ini memang tidak pernah Ketua Menteri datang sini, cuma hantar wakil saja.

“Saya cakap tolonglah Datuk Seri kalau sebelum ini susah kami mahu sampaikan masalah, sekarang Datuk Seri ada di sini kami amat gembira,” katanya ketika ditemui Borneo Today di pulau itu.

Keluhan tersebut bukanlah perkara baharu di Pulau Berhala sebalinya sejak puluhan tahun, ketika bandar Sandakan berkembang pesat, di sini penduduknya dilanda kesempitan.

Ketua Menteri bersama murid-murid sekolah ketika berkunjung ke Pulau Berhala.

Seolah-olah bukan sebahagian daripada Sandakan, Pulau Berhala tidak pernah dibela oleh pemimpin sebelum ini apabila penduduk di situ terpaksa bergantung kepada air hujan untuk hidup dan tiada bekalan elektrik 24 jam.

Justeru, kehadiran Mohd Shafie pasti memberi sinar harapan kepada Pulau Berhala, tidak lagi dijadikan seperti anak tiri yang ketandusan kasih sayang.

Pulau Berhala yang berkeluasan lima hektar didiami oleh kira-kira 5,000 penduduk yang berbangsa Bajau dan kira-kira 4,300 daripadanya adalah pengundi berdaftar Parlimen Sandakan.

Kebanyakkan penduduk di situ merupakan nelayan yang memperoleh hasil purata kira-kira RM600 sebulan tanpa sumber pendapatan lain.

Shafie bersalaman dengan penduduk Pulau Berhala ketika melawat kampung berkenaan pada Khamis.

Pulau tersebut mula dibuka semasa Perang Dunia Kedua apabila dijadikan tempat kuarantin buruh China oleh kolonial British.

Walaupun sudah lebih 60 tahun didiami, tiada sekolah dibina di pulau itu kecuali sebuah kelas yang diuruskan oleh pasukan tentera untuk mengajar pendidikan asas kepada penduduk berumur empat hingga 17 tahun iaitu membaca, menulis dan mengira.

Sementara itu, Shafie ketika berucap di kampung itu berkata, kerajaan berjanji akan membawa infrastruktur dan mengubah nasib masyarakat di situ.

“Selama ini kerajaan lama gagal membawa pembangunan kepada masyarakat di sini tetapi saya tidak akan biarkan perkara itu berlarutan.

“Dalam pentadbiran misi saya adalah membantu kehidupan rakyat, saya akan bawa peluang pekerjaan di Sandakan dan penduduk Pulau Berhala juga tidak terlepas,” katanya.