Shafie Apdal Kecewa Namun Tekad Teruskan Perjuangan

12070

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kegagalan meminda Perlembagaan Persekutuan kepada perkara asal semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimeterai tidak akan menghalang usaha kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan untuk terus menuntut hak-hak negeri ini supaya ditunaikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) menegaskan, kerajaan Sabah tidak akan berputus asa meskipun mengakui perlu menempuh laluan yang berliku.

Beliau yang mengakui kecewa dengan keputusan itu berkata, kerajaan Sabah sekurang-kurangnya telah berjaya mencipta sejarah membawa usul pindaan rang undang-undang berkenaan ke Dewan Rakyat, iaitu yang pertama dilakukan sejak Malaysia dibentuk, namun tidak mendapat sokongan dua pertiga.

“Ada liku-liku yang kita lihat daripada segi Perlembagaan yang ada tetapi kita akan berusaha, kita tidak putus asa, orang Sabah mahu ia dilakukan, jangan tangguh, apa yang saya tahu ada definisi dan interpretasi daripada segi undang-undang.

“Tapi ini sejarah bagi kita, kita sudah berusaha apa yang mampu untuk mewakili rakyat akar umbi, apa yang mereka suarakan.

“Kita tahu perlu ada ketertiban tetapi kita tahu juga akan mengambil masa yang lama daripada sudut itu dan kita tahu serta sedar bahawa ini merupakan sejarah bagi kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen malam ini (Selasa April 9, 2019).

Datuk Shafie Apdal di Parlimen untuk bahas pindaan RUU.

Terdahulu hari ini (Selasa), Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali kedua yang dibentangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Pindaan tersebut adalah sama tanpa sebarang ubah suai dengan Perlembagaan Persekutuan pada waktu MA63 ditandatangani untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Pindaan berkenaan merupakan langkah pertama yang memberi satu kebanggaan kepada Sabah dan Sarawak untuk diiktiraf sebagai rakan sekutu kepada Semenanjung, namun tidak mendapat sokongan majoriti.

Ketika 148 undi atau dua pertiga diperlukan, hanya 138 Ahli Parlimen yang hadir menyokong manakala 59 lagi tidak mengundi yang dipercayai antaranya termasuk semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa undi belah bahagian dilakukan.

Pemimpin GPS iaitu Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut membuat usul supaya RUU itu dibawa kepada Jawatankuasa Pemilih terlebih dahulu selepas bacaan kali kedua tetapi ditolak.

Shafie juga berkata, rakyat Sabah dan Sarawak sudah menunggu lebih 55 tahun, justeru ini masanya perkara paling asas dalam Perlembagaan itu dipinda tetapi masih ada pihak yang mahu merumitkan keadaan.

Tegasnya, Dr. Mahathir juga sudah menyatakan Jawatankuasa Pemilih (Select Committee) akan dibentuk bagi pindaan apa-apa RUU berkaitan selepas ini tetapi masih tidak disokong oleh pihak lain.

“Anda boleh bayangkan jika satu perkara asas tidak dapat dipersetujui dan anda tidak mengundi apa lagi yang mampu kita buat, 55 tahun kita tunggu terlalu lama, ini perkara yang tidak sepatutnya kita buat dengan terburu-buru tetapi sudah 55 tahun menunggu.

“Bila anda lihat inilah masanya kita boleh bawa pindaan tetapi anda mahu melambat-lambatkann, mengumpul semua perkara yang akan mengambil masa bila kita sepatutnya sudah laksanakan sekarang… kita tidak perlu menunggu 10 tahun lagi kerana kesannya lebih besar.

“Membina negara adalah sangat penting bagi kami dengan menyentuh hati bukan dengan cara membawa pandangan daripada pemimpin sahaja tetapi daripada rakyat kebanyakkan dan apa yang kami bawa adalah suara rakyat kebanyakkan,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN: –

Shafie: MA63 Beri Legitimasi Kewujudan Sabah Dan Pembentukan Malaysia

Sabah, Sarawak Disebut Borneo Dalam Pindaan Perlembagaan