Shafie Apdal Ingatkan GLC Tidak Ambil Tanah Sudah Diduduki Rakyat

3221

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diingatkan supaya tidak menghakis hak-hak rakyat dengan mengambil tanah kerajaan yang sudah diduduki orang kampung sejak bertahun lamanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, kerajaan mewujudkan GLC supaya mereka dapat membantu mempelbagaikan hasil negeri Sabah dan bukannya untuk mengambil hak orang-orang kampung.

“Misalnya, dalam kes yang berlaku di Ranau, tanah yang sudah diduduki orang kampung selama 10-50 tahun diambil oleh GLC, kemudian ia diwartakan sebagai hutan simpan. Maka, penduduk disitu dianggap penduduk setinggan kerana GLC telah mengambil tanah berkenaan.

“Dalam kes sebegini, tidakkan kita mahu memindahkan orang kampung yang mungkin ada 1,000 orang ke kampung lain yang terletak agak jauh. Impaknya akan lebih besar.

“Tetapi, jika memindahkan GLC, ia hanya mleibatkan sejumlah individu yang sedikit. Dengan itu, sebagai pemerintah kita kena berhemah dan mempunyai dasar yang prihatin dengan kehendak rakyat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sempna Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Khamis.

Beliau juga mengingatkan GLC supaya tidak menggunakan kuasa undang-undang yang ada untuk menentang rakyat dalam soal pemilikan tanah sehingga rakyat terpaksa membawa kes tuntutan tanah ke mahkamah.

Mohd Shafie berkata, sekiranya ada undang-undang maka, bimbing rakyat supaya memahami dan tidak melanggar undang-undang itu dengan sebaiknya.

Katanya, kerajaan bersama jabatan dan agensi dibawahnya perlu prihatin dan peka dengan keperluan rakyat.

Sekiranya tidak peka, apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, kerajaan pastinya akan merayu untuk meraih undi rakyat yang sebelum ini dihalau dari perkampungan mereka.

“Ketika itu barulah kita menabur janji mahu lakukan yang terbaik. Walhal sejak dari awal lagi kita perlukan sistem yang prihatin dengan kehendak dan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, beliau tidak mungkin menjadi Ketua Menteri dan wakil rakyat jika bukan disebabkan undian rakyat.

“Kita sebagai anggota perkhidmatan kerajaan tidak akan wujud tanpa rakyat. Oleh itu, kita mesti berkhidmat kepada rakyat dan bukannya berkhidmat untuk diri sendiri.

“Untuk itu, kita perlu tahu apa yang rakyat mahukan dan dengan sistem yan ada ini, kita kena peka kepada rintihan rakyat,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat agar tidak mengambil kesempatan dengan dasar kerajaan yang ada untuk membina rumah di kawasan hutan simpan.

Katanya, rakyat perlu tahu penelitian dalam perundangan akan dilakukan dalam menangani permasalahan berkaitan tanah.