Shafie Hadir Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri Di Putrajaya

Tun Dr Mahathir mengambil tempat duduk sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie. Turut kelihatan di gambar pada sebelah kiri adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-132 di Perdana Putra di sini Selasa.

Ini merupakan mesyuarat pertama setelah Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, lepas.

Mesyuarat yang bermula 10.30 pagi itu, turut dihadiri beberapa menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Antara menteri besar dan ketua menteri yang hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bersama Menteri Kewangan, Lee Guan Eng (kiri) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tengah) pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-132.

Pahang, Kelantan dan Terengganu pula dihadiri wakil menteri besar masing-masing.

Menteri kabinet yang turut menyertai mesyuarat itu antaranya ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mesyuarat kira-kira dua jam itu bertujuan untuk menyelaras semua perkara di bawah bidang kuasa negeri dan persekutuan bagi memastikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-132 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pagi hari Selasa.