Shafie Apdal: Geran Komunal Dimansuh Dalam Tempoh Terdekat

7869
Shafie Apdal mahu memastikan setiap rakyat Sabah memiliki kediaman sendiri yang lebih baik dan selesa.

KOTA KINABALU: Pemansuhan pemberian tanah menerusi geran komunal, seperti yang terkandung dalam manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRU14 lepas, akan dilakukan dalam tempoh sedikit masa lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu berkata, kerajaan negeri dengan bantuan beberapa peguam juga telah menggubal beberapa pendekatan berhubung perkara berkenaan dan akan memperhalusinya bagi membolehkan rakyat memiliki geran tanah individu.

“Kita juga akan membuat sedikit ‘rebranding’ (penjenamaan semula) untuk membolehkan rakyat mendapat tanah (dalam tempoh) tidak lama… sebab ini adalah hak mereka,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran parti itu di sini, hari ini (Ahad).

Berhubung isu penempatan setinggan, Mohd Shafie berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri telah diarahkan untuk mengatasi masalah itu dalam usaha memastikan setiap rakyat Sabah memiliki kediaman sendiri yang lebih baik dan selesa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri juga komited membangunkan industri hiliran bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, sekali gus memastikan rakyat Sabah tidak terlalu bergantung kepada pemberian bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, Sabah ialah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam termasuk hasil laut, justeru, kilang memproses produk hasil laut terutama di kawasan pantai timur negeri seperti di Semporna atau Tawau perlu diwujudkan demi manfaat rakyat.

Mohd Shafie juga berharap usaha menjadikan kawasan pantai timur sebagai hab makanan laut akan menjadi kenyataan.