Shafie Apdal Bebas Dengan Jaminan SPRM; Sedia Menghadiri Dewan Rakyat

13143
Shafie diluar Makhamah Majistret pada Jumaat pagi selepas dibebaskan atas jaminan SPRM.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Shafie Apdal dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 Jumaat pagi tadi.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus memerintahkan Shafie, Presiden Parti Warisan Sabah, bebas dengan deposit RM80,000 bersama dua penjamin tempatan.

Beliau, yang tiba di mahkamah Majistret pada kira-kira 9.25 pagi, keluar 10 minit kemudian dan disambut sorakan dan tepukan gembira oleh pemimpin dan penyokong Warisan Sabah yang datang sejak awal pagi lagi.

Shafie terus dibawa ke pejabat SPRM di Jalan UMS-Sulaman, tempat beliau ditahan sejak Sabtu lalu, untuk urusan kertas kerja sebelum pulang ke kediamannya.

Menurut sumber parti, beliau juga akan menunaikan solat Jumaat.

Shafie, serta beberapa individu termasuk dua orang adiknya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan penyelewengan dana untuk projek luar bandar di Sabah.

SPRM diwakili pegawai pendakwa, Mohd Faliq Basiruddin.

Hampir seribu orang datang berpusu-pusu di luar kawasan mahkamah seawal jam 7 pagi.

Di dalam perkarangan mahkamah, Shuryani Shuaib, isteri Shafie dan anak mereka, Mohd Shezwi, menunggu ketibaan Shafie yang diiringi oleh pegawai SPRM dan polis.

Shuryani berkata: “Keluarga kami ingin sangat dia kembali ke pangkuan kami.”

Penyokong Shafie dan Warisan Sabah diluar perkarangan Makhamah Kota KInabalu pada Jumaat untuk menyambut Shafie Apdal dibebaskan.

Sebelum masuk ke kamar mahkamah Majistret, Shafie sempat memberitahu BorneoToday: “Kami sentiasa kuat dan semakin kuat. Saya tidak sabar untuk menghadiri sidang parlimen.”

Salah satu daripada peguam Shafie, Loretto Padua, berkata beberapa program sudah dirancang untuk ahli parlimen Semporna berkenaan.

“Tetapi tentu sekali dia akan menghadiri sidang parlimen. Terpulang kepada (Datuk Seri) untuk membuat keputusan,” kata Loretto, yang juga setiausaha agung Parti Warisan Sabah.