Shafie Akan Panggil ‘Tauke-Tauke’ Bantu Bangunkan Sandakan

1454

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal akan memanggil ahli-ahli perniagaan atau ‘tauke-tauke’ besar di daerah ini untuk membincangkan kerjasama yang boleh dicapai bagi memajukan kembali ekonomi bandar Sandakan.

Shafie berkata, terdapat banyak tauke yang telah membina kekayaan di Sandakan, justeru sudah tiba masanya untuk mereka pula membantu kerajaan membuat pelaburan di bandar itu selepas ini.

Katanya, usahawan-usahawan ini perlu berani mengeluarkan modal yang ada kerana kesannya nanti mereka akan turut menerima manfaat daripada kemajuan ekonomi di bandar itu.

“Usahawan dan tauke-tauke nanti saya akan panggil datang ke Kota Kinabalu, kita duduk satu meja bincang bersama-sama macam mana boleh membangunkan Sandakan.

“Sebelum ini, tauke-tauke itu sudah mendapat kekayaan di Sandakan jadi tiada guna kalau simpan duit di bank sahaja tetapi perlu bantu kerajaan melabur kerana yang pasti akan menambahkan lagi kekayaan mereka,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Sandakan hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Sabah, Tun Dr. Juhar Mahiruddin. Turut hadir isteri beliau, Toh Puan Dr. Norlidah RM Jasni.

Shafie berkata, tiga sektor utama berpotensi untuk dimajukan di Sandakan iaitu kilang papan, perikanan dan pelancongan.

Tegasnya, langkah kerajaan negeri menghentikan eksport balak ke luar negara adalah bertujuan memastikan industri hiliran daripada sumber hutan itu dapat dibuka kerana kilang papan akan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mahu duit cepat jadi mereka jual balak, orang Sabah tidak tahu pemimpin BN ini mengaut keuntungan dan kekayaan tetapi rakyat tiada kerja.

“Sekarang kita ubah dasar, semua balak mesti diproses di kilang-kilang papan barulah ada pekerjaan untuk orang-orang Sabah,” katanya.

Sementara itu, kata Shafie, kerajaan akan mencari jalan membantu golongan nelayan di Sandakan mengusahakan kolam ternakan ikan laut kerana hasilnya lebih lumayan berbanding menangkap ikan di laut.

“Kalau ada kolam ikan mereka tidak perlu lagi bot dan enjin, tidak perlu lagi pukat kerana ikan ada dalam kolam dan paling penting mereka selamat daripada ancaman lanun.

“Semua perancangan ini akan diusahakan kerajaan untuk memajukan Sandakan tetapi saya memerlukan sokongan semua pihak agar hasrat itu tercapai,” tambahnya.