Sewa Pasar Kudat Turun 50 Peratus Bermula Januari

112

Oleh AZIS KHAN
KUDAT: Permintaan para peniaga di pasar Kudat untuk membayar sewa yang lebih murah tertunai apabila mendapat khabar gembira bahawa kadar sewaan bermula Januari tahun depan adalah 50 peratus lebih murah berbanding sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Ben Chong berkata, penetapan sewa lebih rendah itu diluluskan dalam mesyuarat Ahli-ahli Lembaga Bandaran Kudat (LBK) yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim kelmarin.

“Sebelum ini, setiap meja dikenakan sewa sebanyak antara RM40 hingga RM45 sebulan mengikut jenis jualan.

“Bermula tahun depan sewa baharu adalah RM22.50 bagi gerai sayur berbanding RM45 sebelum ini, RM20 untuk gerai menjual ayam (sekarang RM40) dan RM20 untuk runcit (RM40 sekarang),” katanya kepada Borneo Today.

Ben yang juga Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri berkata, usul menurunkan sewa berkenaan dibawa oleh Pegawai Esekutif LBK, Mohd. Rafik Jubar dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, penetapan sewa yang lebih rendah itu bermakna satu lagi manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dijanjikan untuk peniaga di pasar berkenaan berjaya ditunaikan.

“Saya berterima kasih kepada ahli LBK kerana memahami permintaan saya untuk menurunkan harga sewa tersebut.

“Terima kasih juga kepada Sapdin dan Rafik kerana telah menjalankan penyelidikan sebelum usul tersebut dibawa dalam Mesyuarat Ahli LBK kelmarin,” katanya.