Setiausaha Politik MP Penampang Bidas Isu Kemasukan Pekerja Cina

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang, Pritchard Gumbaris membidas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan Kerajaan Sabah tidak merujuk Kerajaan Persekutuan berhubung kebenaran kemasukan pekerja China di negeri ini.

Dalam akaun Facebooknya, Pritchard mengulas bahawa Menteri Kanan bahagian Keselamatan itu, sebelum ini pernah memaklumkan bahawa rakyat asing kategori Pas Pekerjaan atau Employent Pass 1(EP1) telah dibenarkan masuk ke negara ini.

“Tuan Sabri, sila rujuk kembali kau sendiri cakap pekerja asing dalam kategori EP1 dibenarkan kembali selepas melakukan ujian covid-19 tiga hari sebelum masuk negara dan disahkan negatif,”katanya.

Jelasnya, pekerja China yang dibenarkan masuk tersebut merupakan ekspatriat yang bekerja dalam pembinaan jejambat dan beberapa projek China Communications Construction Company (CCCC) di negeri ini.

Mengulas lanjut, Pritchard berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah di mana Kerajaan Persekutuan membenarkan beberapa industri untuk beroperasi bagi memastikan ekonomi negara kembali secara perlahan-lahan.

“Inilah sebabnya mengapa kita memerlukan pemimpin yang berpengalaman untuk memimpin negara, bukan seseorang yang menembak atau menegur secara membabi buta tanpa mengetahui fakta sebenarnya, “ujarnya.

Terdahulu, Ismail Sabri  berkata, Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri ini.

Tambahnya, di peringkat persekutuan, kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1  yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.