Setiap Daerah Perlu Miliki Kolam Takungan Air – Bung

PITAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan setiap daerah di Sabah memiliki kolam takungan air.

Ini langkah alternatif bagi menyediakan tempat penyimpanan air yang boleh digunakan apabila berlaku gangguan bekalan air akibat banjir dan kemarau.

Menteri Kerja Raya ini berkata, semua pegawai daerah telah diminta untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh beberapa agensi seperti Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains serta lain lain agensi berkaitan bagi membincangkan pelan cadangan serta tindakan bagi menyediakan kolam takungan air.

“Apabila ada cadangan dan laporan terperinci yang disyorkan oleh jawatankuasa berkenaan, ia memudahkan pihak kerajaan mengambil tindakan susulan dan menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat dari Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pitas mengenai kerosakan jalan, paip-paip air ekoran banjir yang berlaku baru baru ini di bilik mesyuarat JKR Pitas, baru-baru ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh jurutera daerah JKR Pitas Lim Dixon Amando turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, ADUN Bengkoka, Harun Durabi dan Pegawai Daerah Pitas, Bakri Nanun.

Menurutnya, timbul masalah bekalan air bersih di beberapa daerah ketika musim banjir ekoran air sungai tidak dapat disedut disebabkan air keruh dan kadar keruhan (NUT) yang tinggi disebabkan sampah dan lumpur.

“Selama ini, kita menyedut air dari sungai terus ke rumah pam untuk diperoses dan apabila masalah di atas timbul dengan stok bekalan air di loji terhad menyebabkan kita memangambil masa berminggu ada kalanya berbulan untuk membekalkan air bersih kepada pengguna,” katanya.

Bung berkata, sekiranya ada kolam penyimpanan air, ianya boleh digunakan untuk membekalkan air bersih kepada pengguna sebagai alternatif bagi mengatasi masalah bekalan air ketika musim banjir dan kemarau.

“Setakat ini hanya tiga daerah sahaja di negeri ini mempunyai kolam takungan iaitu di Telibong Tamparuli, Milau Kudat dan di Sagaliud Kudat sementara daerah-daerah hanya bergantung dari bekalan dari rumah pam yang disedut terus dari sungai,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Bung meneliti setiap laporan kerosakan jalan, jambatan dan paip air yang terjejas di Pitas ekoran masalah banjir yang berlaku baru baru ini.

Beliau juga telah meminta jurutera daerah mengambil tindakan segera dengan mendahulukan masalah yang terlalu kritikal sehingga menjejaskan sistem perhubungan masyarakat di kawasan tersebut.