‘Setiap Bulan Kawasan Rumah Kami Banjir’

BEAUFORT: “Hampir setiap bulan kawasan rumah kami banjir,”.

Begitulah luahan seorang penduduk Kampung Bakalau yang berhadapan dengan bencana banjir kerana kedudukan rumah mereka berada berhampiran sungai.

MARHUMAH

Marhumah Arifin,50, berkata, hujan lebat yang turun semalam mengakibatkan air sungai naik dengan pantas hingga menyebabkan air naik sehingga ke paras lutut di bahagian dapur rumahnya.

Justeru, mereka terpaksa berpindah sendiri ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Selagon akibat banjir yang melanda kampung mereka sejak semalam.

Beliau berkata, banjir kali ini secara tiba-tiba sama seperti sambutan raya yang tiba-tiba.

“Malah, hampir setiap tahun juga mereka perlu menukar tikar di rumah selepas berlakunya banjir.

“Ada kalanya belum pun sempat tukar tikar baharu, rumah mereka dilanda banjir sekali lagi,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Selagon, hari ini.

Sementara itu, anak tunggalnya Wahyuni Mohd Zaidi, 24, berkata, kedua ibu bapanya sudah berhadapan dengan masalah banjir itu sejak 1996 lagi dan hampir setiap tahun rumah mereka pasti akan dilanda banjir kerana terletak berhampiran dengan sungai.

Katanya, kali ini, mereka sempat mengemas barangan serta biskut raya untuk diletakkan di tempat tinggi.

Beliau berkata, masih ada saki baki biskut raya yang disimpan untuk membolehkan mereka sambung raya selepas banjir pulih.

ASNIDAH

Asnidah Arase,33, berkata, sebelum air naik sampai ke rumah, mereka sempat menggulung tikar supaya tidak lagi rosak seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kami berpindah sendiri ke PPS kerana ramai anak-anak kecil di rumah dan saya tidak mahu risikokan nyawa mereka.

“Apabila air sungai mulai naik, kami sentiasa bersedia untuk berpindah,” katanya.

Katanya, memandangkan mereka masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri maka, banjir yang berlaku menyebabkan sambutan raya sedikit terganggu.

Malah, persekolahan anak-anak turut terganggu akibat banjir yang berlaku.