Sesi ‘Risik-risik’ Pelawa Marcus Sertai PBS Diadakan – Maximus

44
Penasihat PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama Maximus dan pemimpin kanan PBS lain menggaul ‘yee sang’ dalam majlis itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai hala tuju perjuangan politik bekas Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Marcus Mojigoh masih menjadi tanda tanya.

Walau terdapat gambar tular yang menunjukkan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan dirumah Marcus, namun belum ada sebarang kata putus keluar daripada mulut pemimpin politik veteran UPKO itu untuk menyertai PBS.

Bagaimanapun, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengalu-alukan sekiranya Marcus ingin menyertai parti itu.

Beliau berkata, parti itu membuka pintu kepada mana-mana individu yang ingin menyertai mereka asalkan individu berkenaan menyokonga perjuangan parti.

“Pintu sentiasa terbuka kepada sesiapa yang mahu menyokong perjuangan parti kerana keunikan parti ini adalah ia merupakan parti berbilang kaum dan agama.

“Kami menerima sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama serta latar belakang politik asalkan individu itu menyokong perjuangan dan ideologi parti,” katanya ketika mengulas mengenai kunjungan pemimpin PBS ke rumah terbuka Marcus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PBS, di sini hari ini.

Menurutnya, perjumpaan di rumah Marcus kemarin hanya sekadar mengunjungi rakan yang mengadakan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, tiada perbincangan lanjut mengenai kemasukan Marcus ke dalam PBS kerana pertemuan itu hanya sebagai rakan yang dahulu sama-sama di parlimen.

“Saya boleh katakan perjumpaan itu seperti adat bertunang dimana, kena ada risik-risik. Kemarin boleh diibaratkan sebagai sesi risik-sisik sambil meraikan Tahun Baharu Cina,” ujarnya.

Ditanya sama ada Marcus menyatakan hasrat menyertai PBS, Maximus berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Kami kena tanya dia tentang perkara itu. Namun seperti saya katakan, PBS sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan parti.

“Beliau adalah ahli politik veteran dan sudah pasti pengalamannya berguna kepada generasi muda sekiranya dia memilih menyertai PBS,” ujarnya.

Tentang kelibat Marcus yang tidak kelihatan dalam majlis itu, beliau berkata, Marcus memang ada dijemput namun disebabkan komitmen yang dibuat lebih awal, dia tidak dapat hadir dalam majlis berkenaan.

Pada Ahad, Marcus mengadakan sidang media mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam UPKO berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Ahli Parlimen Putatan itu keluar daripada UPKO bersama beberapa ahli jawatankuasa UPKO Bahagian Putatan yang lain.