Sesi Persekolahan Esok Babitkan 51,294 Pelajar SPM, STPM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sesi persekolahan 2021 yang bermula esok akan menyaksikan sejumlah 51,294 orang pelajar akan hadir bagi pembelajaran secara bersemuka di sekolah masing-masing.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, kesemua pelajar ini adalah mereka yang akan menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah.

Untuk pelajar yang akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) pula, terdapat seramai 63,895 orang pelajar membabitkan murid Tahun Satu, Tingkatan Satu dan peralihan.

Bagi murid Tahun Satu terdapat seramai 36,174 orang akan memulakan sesi persekolahan secara PdPR esok.

Untuk pelajar Tingkatan Satu pula seramai 27,401 orang dan peralihan seramai 320 orang.

Katanya, setakat 4 petang tadi terdapat 21 sekolah rendah di Sabah terjejas banjir di Beaufort, Beluran, Kota Belud dan Tuaran. Ia membabitkan 433 guru dan 4,891 orang murid.

Bagaimanapun, disebabkan tiada sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka bagi pelajar sekolah rendah esok maka, sesi PdPR tidak akan terjejas. ”

Justeru itu, semua guru boleh menjalankan sesi PdPR dari rumah masing-masing.