Sesi Bersemuka Dua Sekolah di Sarawak Ditangguhkan Selepas Tiga Guru Positif COVID-19

KUCHING: Pembukaan semula sesi persekolahan di dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) berasrama di daerah Lawas, ditangguhkan ke Rabu ini (6 Okt) setelah tiga guru disahkan positif COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan II Mohamad Alamin berkata ia membabitkan dua guru dari SMK Merapok dan seorang guru dari SMK Trusan.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Daerah Lawas akan terus memantau perkembangan di kedua-dua sekolah ini.

“Kita harap perkara ini tidak akan berpanjangan dan mudah-mudahan sekolah dapat dibuka secepat mungkin kerana kedua-dua sekolah itu adalah sekolah berasrama dan sudah ramai pelajar yang balik untuk memulakan sesi pembelajaran bersemuka,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Matang Jaya di sini, hari ini.

Mohamad seterusnya meminta ibu bapa agar tidak bimbang, dan membenarkan anak-anak mereka hadir ke sesi persekolahan memandangkan ia dilaksanakan dengan garis panduan yang ketat.