SESB Tawar Rebat Wang Cagaran Kepada Pelanggan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menawarkan rebat sebanyak 2.5 peratus daripada wang cagaran berjumlah RM8.3 juta kepada pelanggannya di negeri ini.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Chendramata Sinteh, berkata, pemulangan rebat itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik masing-masing pada Januari dan Februari ini.

“Pemulangan wang rebat itu akan diberikan kepada 573,767 pengguna termasuk di Labuan.

“Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan, selaras dengan Peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Jelas Chendramata, ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

“Penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan jika terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding cagaran sedia ada.

“Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapat penerangan atau maklumat lanjut boleh menghubungi talian15454 atau 088-515000, selain boleh mengunjungi cawangan SESB seluruh Sabah dan Labuan.