SESB Rugi 9.2 Juta

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mencatat kerugian sebanyak RM9.2 juta dalam tempoh hampir empat tahun sejak tahun 2017  akibat kes usikan pepasangan meter (KUPM).

Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, angka kerugian itu juga membabitkan statistik yang direkodkan setakat Ogos tahun ini dengan anggaran RM1.5 juta.

Tegas beliau, pihaknya memandang serius kegiatan KUPM bukan sahaja dari segi angka kerugian yang ditanggung SESB tetapi juga termasuk imej syarikat itu.

“Pada tahun ini operasi SESB bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) terganggu seketika berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semenjak Mac.

“Bagaimanapun, kita sudah mula melaksanakan operasi secara berterusan mengesan premis yang terlibat dalam KUPM semenjak Julai dan Ogos lepas,”katanya pada sidang akhbar di Wisma SESB, hari ini.

Jelasnya, langkah itu juga melibatkan beberapa kaedah operasi baharu seperti menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes terbabit menjadi keutamaan SESB untuk memastikan fokus utama syarakat mencapai tahap yang lebih baik pada masa akan datang dapat direalisasikan.

“Setiap bulan kita memeriksa 120 premis dan lazimnya daripada analisa data yang dilakukan, antara 40 hingga 50 premis ditentusahkan melakukan kes kecurian elektrik.

“Kita juga mengutamakan proses pendakwaan selepas siasatan termasuk untuk menuntut kembali hasil kerugian kita dan memberi pengajaran kepada orang awam,”katanya.