SESB Bayar Rebat Elektrik RM8.7 juta Mula Bulan Ini

ABDUL NASSER

KOTA KINABALU: Pelanggan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menerima faedah tahunan sejumlah 2.5% (juga dikenali sebagai rebat) daripada jumlah deposit elektrik yang dibayar.

Faedah ini, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, akan
dikreditkan ke dalam bil elektrik para pelanggan bermula pada bulan Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, pemulangan rebat berjumlah RM8.7 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari dan Februari ini.

Pemulangan semula rebat tersebut melibatkan sejumlah 609,869 pengguna di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk
menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan
dimana ia selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang
Lesen 1990.

Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam
bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

Beliau turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya
terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding
wang cagaran sedia ada.

Walau bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka.