Serbuan OCP Laut, Darat Rampas Dadah Bernilai Lebih RM2 Juta

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melalui operasi Op Cegah Pati (OCP) merampas 54.35 kilogram syabu serta 234 biji pil ekstasi bernilai lebih RM2 juta yang dijumpai di dalam sebuah bot laju, di Kuala Sungai Tawau Lama di sini, pada Isnin lepas.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata rampasan itu dilakukan susulan radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 9.20 malam mengesan sebuah bot laju dari Tawau menuju ke perairan Indonesia dalam keadaan mencurigakan.

“Aset laut terdiri daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan OCP digerakkan mengesan dan cuba memintas bot berkenaan.

“Bagaimanapun, menyedari kehadiran pasukan keselamatan itu bot suspek berpatah balik dan memecut ke arah Kuala Sungai Tawau Lama, namun di sana pasukan keselamatan yang membuat rondaan OCP di daratan menyerbu bot dinaiki dua suspek tetapi berlaku kejar-mengejar dan suspek berjaya melarikan diri ke kawasan gelap,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata hasil pemeriksaan di bot itu, pasukan keselamatan menemukan tiga kotak dengan kotak pertama mengandungi 36 bungkus teh cina bertulis Qing Shan berisi dadah syabu. 

“Lapan bungkusan dadah syabu turut ditemukan di dalam kotak kedua dan tujuh bungkusan dadah di kotak ketiga, selain itu turut ditemukan satu peket plastik berisi 234 pil ekstasi,” katanya lagi.

Susulan itu, katanya semua dadah termasuk bot laju serta enjin 200hp bernilai RM2.495 juta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.

Beliau dalam pada itu berkata, rampasan dadah itu merupakan yang terbesar dilakukan ESSCom sejak OCP Darat dan Laut dilancarkan pada Mac tahun ini.

“OCP ini merupakan inisiatif gabungan rondaan bersama yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan APMM bertujuan mengekang kemasukan pendatang haram selain menangani penyeludupan serta elemen kumpulan penculikan untuk wang tebusan,” katanya.

Ahmad Fuad berkata ESSCom tidak akan berkompromi dengan pihak yang menjadi pengkhianat negara.

“Amaran keras kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti tekong darat dan laut serta penyeludup agar menghentikan segera semua aktiviti haram ini atau bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya.