Serbegeth Singh Meninggal Dunia

JOHOR BAHRU: Bekas pemain bola sepak kebangsaan yang popular sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa, Serbegeth Singh atau lebih dikenali Shebby Singh, 61 , dilaporkan meninggal dunia ketika sedang berbasikal di sekitar Sunway Iskandar, pukul 7 malam tadi.

Menurut laporan media, perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi pemberita.

“Ya, mangsa meninggal dunia ketika berbasikal di kawasan Bukit Sunway Nusajaya. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah dia terbabas ketika sedang berbasikal.

“Kejadian tersebut juga tiada kaitan dengan sebarang insiden langgar lari.

“Kita tunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa meninggal dunia sebab serangan jantung atau akibat kemalangan,” katanya.

Difahamkan, mayat mendiang akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini untuk bedah siasat.

Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan telah beraksi pada sukan Asia di New Delhi pada 1982, sukan Asia di Seoul pada 1986 dan sukan Asia di Beijing pada 1990.

Selain itu, Shebby turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) Kuala Lumpur pada tahun 1989.

Shebby memulakan kerjaya bola sepak sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi Negeri Sembilan FA dan Pahang FA sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.

Mendiang juga adalah Penasihat Global kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris
Blackburn Rovers pada 2012.