Serangan Buaya, Anak Hilang, Bapa Cedera Parah

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun hilang setelah dibaham buaya dalam kejadian di perairan Pangkalan Polis Marin, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 10.00 pagi itu, bapa mangsa cedera di beberapa bahagian badan dan kepala.

Menurut saksi, ketika kejadian, mangsa sedang berada di dalam sebuah perahu di kawasan laut di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Lahad Datu, sebelum disambar seekor buaya.

Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki berusia setahun, dilaporkan hilang.

Mangsa yang terselamat berusia 45 tahun dikenali Morehat dilaporkan mengalami kecederaan parah dengan kesan luka di bahagian badan dan kepala dan telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.25 pagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sumsoa berkata sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan bot dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 2 kilometer dari balai.

Turut membantu operasi mencari, 6 anggota Pasukan Polis Marin.

“Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa dibaham buaya di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin,Lahad Datu.

“Menurut saksi terdapat 2 orang mangsa terlibat yang sedang mencari bot mereka di persisiran pantai sebelum disambar buaya.

“Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tertumpu di sekitar kawasan mangsa diserang reptilia berkenaan.

“Operasi SAR pada hari ini dijalankan menggunakan kaedah surface rescue sejauh 2 kilometer dari Pangkalan Polis Marin sehingga ke perairan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) sebanyak 5 kali berulang alik.

“Namun setakat ini mangsa yang dipercayai dibaham buaya masih belum ditemui.

“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung esok,” katanya.