Seramai 951 Mangsa Banjir Masih Di Pusat Pemindahan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selepas penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Kudat, bilangan mangsa banjir semalam menurun kepada 912 orang pada 8 malam, semalam dan kemudian meningkat semula kepada 951 orang setakat 8 pagi tadi.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua 951 mangsa banjir daripada 310 keluarga ini adalah dari tiga daerah yang terjejas banjir iaitu Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Setakat pagi tadi, sebanyak lapan PPS dibuka apabila 84 buah kampung di ketiga-tiga daerah itu termasuk lima kampung di Tongod terjejas banjir.

Di Kota Marudu empat PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Asin-Asin, SR Advent Damai Kota Marudu, SMK Tandek dan SK Taritipan dimana, ia menempatkan 782 orang mangsa dari 263 keluarga.

Manakala, tiga PPS dibuka di Pitas iaitu Dewan Kampung Kusilat, SK Pekan 2 Pitas dan SK Salimpodon yang menempatkan 145 orang daripada 38 keluarga.

Untuk daerah Beaufort, hanya satu PPS dibuka iaitu Dewan DSP Mohd Dun Banir yang menempatkan 24 orang daripada sembilan keluarga.