Seramai 58 Pelajar Positif COVID-19, 64 Pelajar Dikuarantin

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 58 pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 di Sabah dikesan positif Covid-19 setakat semalam.

Kesemua pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ini dikesan positif melalui saringan kemasukan ke asrama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua kontak rapat kepada pelajar-pelajar ini telah dikenal pasti dan diasingkan di pusat kuarantin di daerah masing-masing.

Sementara itu, 64 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid Keningau diarahkan menjalani kuarantin apabila seorang guru dan pelajar di sekolah itu dikesan positif Covid-19.

Kesemua 64 pelajar ini merupakan kontak rapat kepada dua kes positif dan kesemua mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) IPG Keningau.

Masidi berkata, hasil siasatan awal menunjukkan keberangkalian kes ini adalah jangkitan komuniti dan bukan jangkitan di sekolah.

Beliau berkata, berikutan tindakan pantas yang dilakukan Pejabat Kesihatan Keningau, semua kontak rapat dalam kes ini telah dikenal pasti dan mereka diasingkan dariapda guru dan pelajar lain.

Untuk itu, aktiviti disinfeksi setempat telah dilakukan semalam. Maka, tiada keperluan untuk menutup sekolah tersebut.

Katanya, sesi persekolahan berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Berdasarkan saringan pelajar masuk ke asrama, 58 pelajar yang didapati positif dikesan di 17 daerah.

Ia membabitkan daerah Sandakan dengan 10 kes, Lahad Datu (7), Semporna (7), Tawau (6), Kalabakan (4), Kota Marudu (4), Kudat (4), Kinabatangan (3), Ranau (3), Telupid (2), Tongod (2) dan satu kes dikesan di Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kunak, Papar dan Pitas.