Seramai 408 Orang Mangsa Banjir Ditempatkan Di PPS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 408 orang mangsa banjir masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Belud dan Tuaran setakat 12 tengah hari ini.

Berbanding 8 malam semalam, bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di lapan PPS adalah seramai 387 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat seramai 339 orang daripada 132 keluarga masih ditempatkan di lima PPS di Kota Belud manakala, 69 mangsa daripadda 20 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Tuaran.

Lima PPS yang dibuka di Kota Belud adalah Dewan Masyarakat Tun Said (131 orang); Dewan SMK Taun Gusi 2 (128); Dewan Kampung Lebak Engad (49), Dewan Muhibbah Kg Tombol (24) dan Sekolah Menengah Agama Tun Said (7).

Di Tuaran pula, mangsa banjir di tempatkan di Dewan Sri Sulaman.

Hujan yang turun sejak awal pagi Isnin mengakibatkan 72 kampung terjejas banjir iaitu Kota Belud (32 kampung), Tuaran (26), Penampang (7), Beaufort (5) dan Kota Kinabalu (2).

Setakat 8 pagi tadi, dua pusat pemindahan telah ditutup iaitu Dewan Masyarakat Manggatal dan Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud.