SERAMAI 326 KUMPULAN KETIGA PELAJAR PENGAJIAN TINGGI DI LABUAN DIHANTAR PULANG HARI INI

LABUAN: Seramai 326 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dari Semenanjung yang terkandas menarik nafas lega apabila mereka semua dihantar pulang menerusi dua penerbangan sewa khas Malaysia Airlines hari ini.

Kumpulan pertama terdiri daripada 160 pelajar berlepas dari Lapangan Terbang Labuan pada pukul 2.05 petang manakala kumpulan terakhir terdiri daripada 166 pelajar akan berlepas pukul 6.45 petang.

Mereka adalah kumpulan ketiga pelajar dihantar pulang. Kumpulan pertama terdiri daripada 47 pelajar dari Kolej Matrikulasi Labuan dihantar pulang ke beberapa bahagian Sabah pada Sabtu (2 Mei) disusuli oleh kumpulan kedua terdiri daripada 33 pelajar dari Institut Latihan Perindustrian (ITI) pada 4 Mei.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Labuan Nurzaliza Abdullah terdahulu hari ini memberi taklimat kepada 326 pelajar berkenaan mengenai prosidur operasi standard (SOP) dan perkara yang dilarang dan dibenarkan berhubung jarak sosial sama ada dalam penerbangan atau setiba di destinasi masing-masing.

Kesemua mereka diberi cecair pembasmi kuman dan pelitup separuh muka sebelum menaiki pesawat dan semua pelajar telah menjalani ujian swab dan saringan kesihatan pada minggu lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Semulajadi Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, semua pelajar yang terlibat dalam program penghantaran pulang itu hari ini telah diperiksa kesihatan dan mereka sihat dan boleh pulang.

“Setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan disambut oleh para pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Semulajadi Selangor dan pusat kawalan operasi bencana Sepang dan pegawai polis Sepang yang akan membantu dalam persediaan penghantaran pelajar berkenaan ke rumah masing-masing di beberapa tempat di Semenanjung iaitu Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Perak”, katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Labuan.

Dr Fary berkata penerbangan berkenaan diatur oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Semulajadi dan para pegawai UMSKAL.

Beliau berkata, masih terdapat lebih 300 pelajar di kampus UMSKAL termasuk dari Sarawak, yang masih menunggu persediaan untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka yang dari Sabah akan dihantar pulang dengan bas tidak lama lagi termasuk Sarawak dan berharap ia sebelum sambutan Aidilfitri,” katanya.