Seramai 250 Pelajar Sabah Sertai Program Bimbingan Seni Budaya

Norliza (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar yang memenangi pingat emas ketika menyertai Dance World Cup 2019.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sejumlah 250 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 10 buah sekolah di Sabah diberi peluang menyertai Program Bimbingan Seni Budaya pada tahun ini.

Program yang dilaksana oleh Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara itu dilihat langkah awal mendedahkan pelajar dalam bidang seni budaya termasuk seni tari, teater dan muzik.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, program sebegitu membantu menanam minat dan keazaman kanak-kanak untuk mencipta kejayaan dalam bidang seni budaya pada masa akan datang.

Sehingga kini, seramai 246,401 orang pelajar serta 2,376 jurulatih dari sekolah-sekolah seluruh negara mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Pemenang Dance World Cup 2019, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, beliau yakin penyertaan pelajar dalam pertandingan tarian sebegini akan memberi impak yang tinggi terhadap keyakinan pelajar untuk memberi cabaran secara maksimum bagi memenangi pingat dalam pertandingan sebegitu.

Beliau berkata, kejayaan pelajar-pelajar Sabah meraih kejuaraan dan pingat dalam pertandingan tarian yang diadakan di Portugal itu disebabkan mereka membawa seni budaya Sabah.

Katanya, budaya tradisi masyarakat setempat ternyata mampu menarik perhatian juri untuk menobatkan mereka sebagai pemenang pingat emas.

Dalam pada itu, Norliza berkata, bidang seni bukan lagi sekadar hiburan semata-mata, penubuhan Akademi Seni Budaya Kesenian & Warisan Kebangsaan (ASWARA) ternyata meletakkan seni budaya itu pada tahap yang lebih tinggi.

Kini, pelajar dalam bidang kesenian di ASWARA mampu menjadi golongan profesional dengan adanya tahap pendidikan yang baik.

Dalam majlis penghargaan berkenaan, Norliza menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar dan guru pengiring dari lima sekolah yang mewakili Malaysia dalam World Dance Cup 2019.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu; Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, SK Stella Maris; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) ST Agnes; dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) ST James Likas.