Seramai 235 Orang PATI Diusir Keluar Dari Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) diteruskan dengan pengusiran 235 orang PATI warganegara Filipina pulang ke negara asal mereka, semalam.

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah (MKN Sabah) dalam satu kenyataan memaklumkan pengusiran itu adalah pengusiran siri pertama pada tahun 2020.

Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sehingga kini, sejumlah 591,230 orang PATI telah diusir keluar dari Sabah sejak tahun 1990.

Katanya, MKN Sabah akan terus menyelaras tanggungjawab bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pelbagai agensi yang lain untuk mengusir PATI pulang ke negara asal.

MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu menjayakan proses pengusiran PATI.

Ia dilakukan demi menunaikan amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak ingin melihat kebanjiran PATI di Malaysia, khususnya di negeri Sabah.