Seramai 166 Palauh Dihantar Ke Depoh Tahanan Kimanis

KOTA KINABALU: Seramai 166 orang palauh yang ditangkap dalam Op Bangau pada 4 Mac lalu dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Kimanis, Papar, hari ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip dalam satu kenyataan berkata, kesemua 166 orang Palauh yang ditangkap itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan tersebut.

Kesemua tahanan dihantar setelah Saringan Covid-19 yang dijalankan menggunakan RTK-Antigen pada 5 Mac mendapati semua tahanan negatif Covid-19.

Beliau berkata, dalam Op Bangau seramai 169 orang ditangkap yang terdiri daripada 43 lelaki dewasa, 51 perempuan dewasa, 27 kanak-kanak lelaki, 32 kanak-kanak perempuan, 11 bayi lelaki dan lima bayi perempuan.

“Daripada jumlah itu, seorang dilepaskan atas nasihat Jabatan Imigresen Malaysia dan dua orang gelandangan warganegara akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Masyarakat.

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen cawangan Sabah yang bersama-sama DBKK dalam operasi hari ini,” katanya.