Seramai 153,250 Pekerja Ladang Sawit Diarahkan Jalani Ujian COVID-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan semua pengurusan ladang kelapa sawit untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 secara menyeluruh ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari, bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, arahan ujian menyeluruh itu melibatkan sejumlah 153,250 orang pekerja. Ia membabitkan sebanyak 1,160 ladang estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit di Sabah.

Beliau berkata, arahan itu berikutan enam kluster dikesan melalui saringan pekerja-pekerja asing di bawah Program Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) setakat 24 Jan.

Daripada enam kluster ini, sebanyak 254 kes positif yang melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang.

Katanya, melihat perkembangan itu, kerajaan negeri melahirkan kebimbangan akan situasi perkembangan kes Covid-19 melibatkan sektor peladangan sawit di Sabah.

“Kerajaan negeri juga menghargai inisiatif pemain industri peladangan untuk melaksanakan sekatan pergerakan keluar masuk pekerja-pekerja (locked down) secara sukarela di ladang masing-masing sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 kecuali bagi maksud pergerakan seperti wakil pengurusan untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas; petugas saringan Covid-19; pekerja pengangkutan hasil ladang dan anggota pengurusan yang diberi kebenaran.

“Bagi ladang yang ada kes positif Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menutup operasi ladang dengan serta merta untuk memastikan kerja-kerja pencegahan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk pembukaan semula operasi ladang adalah tertakluk kepada penilaian KKM.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan situasi kes Covid-19 di sektor peladangan sawit di Sabah dari semasa ke semasa dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.

Untuk itu, beliau menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga- jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.