Seramai 140 Orang, Sembilan Rumah Terjejas Akibat Fenomena Air Pasang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 140 orang terjejas di Kudat dan Tanjung Aru berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku pada 8.30 malam, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan di Kudat, seramai 41 orang terjejas dari Kampung (Kg) Sri Aman dan Kg Tanjong Kapor telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Arena Belia dan Sukan, Kudat.

Manakala, tujuh buah rumah mengalami kerosakan dimana, dua rumah roboh dan lima buah lagi hampir roboh.

Sementara di Kg Tanjung Aru, Kota Kinabalu seramai 99 orang terjejas akibat fenomena air pasang.

Terdapat dua rumah mengalami kerosakan yang mana, sebuah mengalami kerosakan 80 peratus dan sebuah rumah lagi mengalami kerosakan 50 peratus. Kedua-dua struktur rumah tidak selamat untuk diduduki.

Semalam, Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu kesemua mangsa terjejas memindahkan barangan penting. Pihak keselamatan mengarahkan penduduk berpindah dan mengosongkan rumah. Malah, ada penduduk yang telah membuka lantai rumah agar rumah tidak hanyut.

Bagaimanapun, pemantauan susulan APM pada 9 pagi tadi mendapati semua mangsa telah pulang ke rumah masing-masing. Bagi rumah yang mengalami runtuhan, penghuni menginap di rumah saudara mara.