Seramai 13 PATI Filipina Ditahan, Senjata Dirampas

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Cubaan sekumpulan 13 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam dua kejadian berasingan di sekitar perairan daerah ini, semalam.

Suspek berusia antara tujuh hingga 50 tahun itu, sanggup melanggar arahan penguatkuasaan Perintah Berkurung yang dilaksanakan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) apabila mereka bergerak menceroboh sempadan negara bermula seawal 2.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, suspek sengaja menceroboh masuk ke perairan negara pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota polis berjaya mengesan pergerakan sebuah bot menuju ke arah Semporna di perairan antara Pulau Mataking dan Bohayan.

“Juragan bot dikesan cuba melarikan diri dengan memecut laju bot, namun, berjaya dipintas pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, terdapat enam lelaki di dalam bot berkenaan dan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditahan.

“Selang beberapa minit kemudian, anggota bertugas sekali lagi mengesan pergerakan sebuah bot yang dinaiki tujuh lelaki.

“Sebaik ditahan, polis mendapati semua suspek pada bot kedua juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan masing-masing,” katanya.

Menurut Mohd Yacob, kedua-dua bot dipercayai baharu masuk dari Filipina ke Semporna.

“Dalam masa sama, anggota bertugas turut menemui lapan laras senjata buatan sendiri, kompresor dan tong ais dipercayai digunakan untuk menangkap ikan.

“Sehubungan itu, polis merampas semua barang milik suspek termasuk enjin dan bot yang dianggarkan bernilai lebih RM21,000,” katanya.

Suspek turut ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Kakisan, Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memilik senjata berjadual serta masuk ke negara ini secara haram.