Seramai 13 Guru, 27 Pelajar Dijangkiti Covid-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 13 guru dan 27 pelajar sekolah dikesan positif Covid-19 hari ini dan kesemua mereka sedang menjalani rawatan di pusat-pusat rawatan di seluruh Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes melibatkan warga pendidik ini tidak datang daripada kluster tertentu.

Kes melibatkan warga pendidikan ini melibatkan guru, pelajar serta dua lagi warga Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengesan punca jangkitan.

Mengenai kes melibatkan bukan warganegara pula, Masidi berkata, sehingga kini sebanyak 1,236 kes positif Covid-19 atau 13.3 peratus kes di Sabah melibatkan warga asing.

Warga asing ini menyumbang kepada 27 kluster daripada 35 kluster yang dilaporkan di negeri ini.

Menurutnya, penularan jangkitan turut dilaporkan di lima kawasan koloni setinggan di Semporna serta di Kota Kinabalu.

“Kawasan setinggan yang dikenal pasti di Semporna adalah Kampung (Kg) Bangau-Bangau, Kg Selamat, Kg Panji, Kg Bakau dan Kg Air. Sementara di Kota Kinabalu, melibatkan kawasan penempatan Telipok, Pulau Gaya dan Kg Numbak,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penularan kes dari kluster Benteng Lahad Datu ke Pantai Barat Sabah, Masidi berkata, penularan ini berlaku susulan pergerakan penduduk yang berlaku sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 16 Oktober.

Menjawab persoalan daerah Nabawan mencatatkan satu kes positif, beliau berkata, JKNS mendapati berkemungkinan kes di Nabawan ini berpunca daripada pemborong ikan di Papar kerana terdapat jangkitan di Pasar Ikan Papar. Kes ini mungkin berkaitan dengan kluster Basung, Kudat.

Namun, kes jangkitan di daerah Nabawan ini masih dalam siasatan pihak JKNS.