Seramai 122 Pelajar Tajaan Yayasan Sabah Pulang Ke Pangkuan Keluarga

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Terkandas lebih sebulan di asrama masing-masing, Yayasan Sabah (YS) mengambil inisiatif membawa pulang 122 orang pelajar sekolah menengah dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di sini petang tadi.

Kesemua pelajar sekolah menengah tajaan Yayasan Sabah itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menaiki penerbangan sewa khas AirAsia AK6354 pada 1.15 petang tadi.

Sebaik tiba, mereka terus dibawa untuk ditempatkan sementara waktu di Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bagi menjalani saringan pemeriksaan Covid-19.

Menteri Pelajaran & Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, saringan pemeriksaan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum pelajar-pelajar ini disahkan tiada gejala wabak Covid-19 untuk dibenarkan pulang bagi menjalani kuarantin di rumah masing-masing bagi tempoh 14 hari.

“Sekiranya pelajar-pelajar ini berada dalam keadaan baik, mereka akan dikuarantin dirumah.

“Oleh itu, ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan anak-anak ini tidak bebas bergerak bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelajar tajaan Yayasan Sabah dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di sini hari ini.

Yusof berkata, keputusan membawa pulang pelajar-pelajar sekolah menengah ini dibuat setelah segala pertimbangan diambil kira.

Malah, Ketua Menteri juga prihatin dengan rayuan dan permintaan ibu bapa untuk bawa pulang anak-anak ini. Atas sebab itu, YS mengambil insiatif sebegini.

Katanya, kesemua pelajar sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Lima ini sepatutnya sudah lama balik namun, mereka terpaksa dikuarantin di kediaman sekolah masing-masing.

Menurutnya, di peringkat awal, Yayasan Sabah terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri.

Apabila kebenaran diberikan, YS mengambil inisiatif ini bagi membawa pulang pelajar-pelajar sekolah menengah ini pulang ke Sabah.

Mengenai pelajar tajaan negeri dan Yayasan Sabah yang berada di luar negara, Yusof berkata, ada antara pelajar Sabah yang berada di luar negara termasuk di Mesir memilih untuk kekal berada di sana kerana ada yang bakal menduduki peperiksaan.

Katanya, kesemua pelajar-pelajar Sabah di luar negara ini berada dalam keadaan yang baik dan selamat.