KOTA KINABALU: Terlibat dalam aktiviti perjudian tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, seramai 115 orang ditangkap dalam 18 serbuan berasingan di seluruh negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagi serbuan dalam Op Limau yang dijalankan pada 1 hingga 14 Feb, seramai 93 individu berusia 20 hingga 80 tahun ditangkap dalam 12 serbuan berasingan.
Tangkapan itu membabitkan rampasan berjumlah RM117,674 itu bagi pelbagai aktiviti perjudian seperti mahjong, PaiKaw dan daun terup.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah turut membuat enam serbuan bagi aktiviti perjudian sabung ayam dimana, 22 orang ditangkap dengan rampasan berjumlah RM1,268 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi pemantauan pematuhan SOP yang dijalankan sepangjang tempoh sama, seramai 116 orang dikompaun atas kesalahan ingkar mematuhi SOP ditetapkan.
Hazani berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa banyak aktiviti telah dibenarkan seperti dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Justeru itu, PDRM Sabah akan terus mempergiat usaha memastikan semua rakyat di Sabah untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Dalam masa sama, PDRM Sabah akan terus meningkatkan risikan dan pengumpulan maklumat bagi kes-kes jenayah sama ada perjudian, pusat hiburan dan apa-apa bentuk pelanggaran SOP di seluruh negeri ini.
“PDRM Sabah juga mengalu-aluklan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di balai-balai berdekatan atau di Bilik Gerakan IPK Sabah ditalian 088-318555,” katanya.