Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, terdapat seorang lelaki mengalami sesak nafas dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, apabila tiba di lokasi, terdapat 20 rumah di kawasan seluas 200 x 300 kaki persegi musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
Katanya, tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dan menyelamatkan 180 buah rumah lain daripada terbakar.
Pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa lelaki mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh pasukan unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital.
Pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu dan Penampang turut membantu dalam operasi pemadaman kebakaran.
Operasi pemadaman api terkawal pada 5.05 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 7.55 pagi.