Sepucuk Pistol, Enam Peluru Hidup Ditemui Dalam Operasi Bersepadu

1964
Zaini Jass menunjukkan Revolver Smith and Wilson yang ditemui semasa operasi di Kawasan Penempatan Pelarian Filipina minggu lalu.

LABUAN: Sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson.38 Special 4″ dengan enam peluru hidup ditemukan di dalam sebuah rumah di petempatan rakyat Filipina di Kampung Baru Sebor dalam operasi bersepadu di sini minggu lepas.

Senjata lain termasuk parang dan kapak turut dirampas dalam operasi dua hari bermula Sabtu lalu bertujuan mencegah jenayah di Labuan dan Sabah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata polis masih memburu pemilik pistol itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Semasa pasukan kami menyerbu rumah itu, kami mendapati ia sudah kosong, tiada penghuni, tetapi kami menjumpai pistol itu dan pelurunya tersorok di bawah silinder gas,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata seorang wanita berumur 23 tahun dan lelaki 33 tahun turut ditahan dalam operasi sama kerana memiliki dadah dan akan didakwa di bawah Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

“Wanita itu ditahan bersama 53.90 gram syabu manakala lelaki itu ditahan dengan 11.07 gram dadah jenis sama dan 6.03 gram ganja,” katanya.

Beliau berkata semasa operasi itu, seramai 89 orang termasuk 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan untuk siasatan lanjut berhubung dokumen perjalanan.