Seorang Rentung Kereta Terbakar Akibat Terbabas Sendiri

196
Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.

PAPAR: Seorang mangsa dilaporkan rentung apabila kenderaan dipandu terbakar setelah ianya terbabas sendiri dan memasuki gaung sedalam 1.5 meter di KM 35 Jalan Kimanis-Keningau, di sini pada Sabtu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat memaklumkan mereka menerima laporan berkenaan kejadian itu pada 2.19 petang.

Dengan itu, sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba & Penyelamat Keningau bergegas ke lokasi menaiki sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Apabila tiba ditempat kejadian, kereta jenis Proton Wira itu didapati terbakar sepenuhnya dan terdapat seorang mangsa rentung di dalamnya.

Kenderaan itu dipercayai terlibat kemalangan dengan terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam gaung sedalam kira-kira 5 kaki (1.5m).

Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada 3.30 petang.

Maklumat mangsa tidak diperolehi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.