Seorang rentung dalam kebakaran rumah sewa di Putatan

231
Pasukan bomba melakukan operasi memadam kebakaran di Putatan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Seorang lelaki rentung dalam kebakaran sebuah blok rumah sewa lima pintu, di Pekan Baru Putatan pada awal pagi Isnin.

Mangsa, Mazlan Mad berusia 19 tahun yang tidak berdokumen itu ditemukan pada 9.30 pagi tadi ketika pasukan forensik Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemeriksaan di kawasan kebakaran.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada 12.31 pagi dan tiga jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Penampang, Mohd Khairul Khoir bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bantuan dari Balai Bomba Kota Kinabalu dengan sebuah jentera bersama enam anggota turut membantu dalam operasi memadam kebakaran.

Turut musnah dalam kebakaran itu adalah dua buah kenderaan.

Punca kebakaran masih disiasat.