Seorang PATI Ditahan Dipercayai Ahli Kongsi Gelap

73
Suspek yang dipercayai anggota pertubuhan kongsi gelap ditahan PPM diperairan Silam, Lahad Datu, petang kelmarin.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai ahli sebuah kongsi gelap ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menaiki sebuah bot pam, di perairan Silam, di sini, petang kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, suspek didakwa melarikan diri dengan mengubah haluan bot pam yang dinaikinya sebaik saja melihat kehadiran pasukan keselamatan di situ.

“Pegawai dan anggota bertugas berjaya memintas bot pam berkenaan sebelum mendapati terdapat seorang juragan di dalamnya.

“Pemeriksaan awal mendapati, lelaki berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu, kami turut menemui beberapa buku, kad dan dokumen keahlian satu pertubuhan kongsi gelap yang diwartakan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, PPM turut melakukan pemeriksaan pada badan suspek dan menemui satu parut berbentuk lambang kongsi gelap berkenaan pada lengan suspek.

“Suspek turut mengaku memiliki semua barangan berkenaan.

“Sehubungan itu suspek kini disiasatan mengikut Seksyen 56 Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, suspek boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.