Seorang Maut, Empat Cedera Dalam Dua Kemalangan Berasingan

Kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Jalan Monsolurung Tambunan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Tambunan dan Papar.

Dalam kejadian kemalangan di Jalan Monsolurung, Tambunan pada Sabtu, terdapat seorang pemandu maut apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 7.28 malam (Sabtu) dan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dengan seorang pegawai bomba serta lima anggota dikejarkan ke lokasi.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang pemandu Toyota Corolla didapati tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sementara seorang lagi mangsa (Toyota Hilux) yang mengalami cedera parah dikeluarkan orang awam dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan selanjutnya.

Mangsa, Taulus Nain,37 yang meninggal dunia diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan di Lebuhraya Simpudu-Mikit Papar.

Dalam kejadian di Lebuhraya Simpudu Mikit, Papar, tiga mangsa cedera apabila kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lagi kenderaan lain.

PGO JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada 2.28 petang tadi (Ahad) dan dua jentera iaitu FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota termasuk seorang pegawai.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, Komander operasi mendapati terdapat tiga mangsa, seorang cedera parah manakala, dua cedera ringan.

Ketiga-tiga mangsa telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan dan pasukan EMRS sebelum kesemua mereka dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Kenneth Kane Aldroe,17. Dua mangsa yang mengalami cedera ringan dikenali sebagai AK Ismail Pg Matserudin,65, dan Redear Yustin,20.