Seorang Lelaki Maut Dalam Perlanggaran Dua Bot Di Semporna

SEMPORNA: Seorang lelaki maut apabila bot yang dinaiki berlanggar dengan sebuah bot penumpang berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa berusia 50an yang menaiki bot kecil tidak berlampu bertembung dengan sebuah bot penumpang yang dinaiki tujuh individu termasuk juragan bot.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, akibat pelanggaran itu, bot kecil dinaiki mangsa pecah pada bahagian belakang hingga menyebabkan mangsa dan enjin bot terjatuh ke dalam laut.

Bot berkenaan difahamkan sedang menuju ke Pulau Bum Bum dari Pekan Semporna.

Juragan bot penumpang kemudian bertindak menyelamatkan mangsa dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan.

Walau bagaimanapun, setelah lebih sejam dirawat di wad kecemasan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian perut dan lengan kanan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Susulan laporan polis yang dibuat oleh salah seorang penumpang, juragan bot penumpang yang merupakan lelaki bukan warganegara berusia dalam lingkungan 20 tahun ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, Mohd Farhan menasihati semua pemilik bot agar sentiasa berhati-hati semasa menggunakaj bot terutama di kawasan yang sibuk. Di samping itu, mereka perlu menyediakan peralatan keselamatan seperti memasang lampu pada waktu malam dan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Orang ramai yang menyaksikan perlanggaran kedua-dua bot itu disaran untuk tampil membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Nur Faez Hazreeq di talian 087-781222.