Senario Fotografi Dasar Laut Sabah Mampu Capai Tahap Antarabangsa

94
Ahmad Zaki (tengah), Zamzani (dua kanan) bersama pemenang Festival Fotografi Dasar Laut Sabah 2019, Rayner Ignatius (tiga kiri), Morris Bisoni (dua kiri) dan Charles Mawan (tiga kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (Motac) Sabah mengambil langkah pertama merealisasikan hasrat memperkenalkan Pulau Bum Bum, Semporna sebagai destinasi selaman makro.

Pengarah Motac Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, penganjuran Festival Fotografi Dasar Laut Sabah 2019 (Edisi Makro) itu adalah selaras dengan persediaan Motac dalam menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan aktiviti explorasi yang dijalankan Motac Sabah bagi mengenalpasti keunikan Pulau Bum Bum sebagai destinasi selaman makro yang berpotensi untuk diperkenalkan kepada masyarakat dunia.

Katanya, kawasan sepanjang selat berhampiran Pulau Bum Bum itu menempatkan banyak spesis makro yang bersaiz kecil termasuk spesis endemik.

Program yang dilaksana bermula 19 hingga 22 September itu disertai seramai 15 orang peserta dari Sabah dan Kuala Lumpur. Kesemua peserta hanya dibenarkan menggunakan kamera kompak dan bukannya DSLR.

Ahmad Zaki berkata, penganjuran program yang melibatkan juri profesional dalam bidang fotografi dasar laut terutama fotografi makro itu membolehkan festival yang julung-julung kali diadakan itu mempunyai standard tertentu.

“Saya amat hargai kehadiran ketiga-tiga juri yang datang secara sukarela dari Semenanjung Malaysia dan Singapura ini. Dengan adanya juri profesional ini, kita dapat meningkatkan mutu dan hasil pertandingan seperti yang dapat dilihat pada hari ini,” katanya ketika Sidang Media, di sini pada Ahad.

Menurutnya, juri-juri yang membantu dalam menjayakan program ini merupakan jurulatih Diving Instructor World Association (DIWA) dari Kuala Lumpur, iaitu Patrick Ong See Hoong, wakil DIWA dari Singapura Zulkarnain Abdullah (Zul Ng) dan Nicholas Teh.

Ahmad Zaki berkata, kejayaan penganjuran pada kali ini memberi keyakinan kepada Motac Sabah untuk menganjurkan program yang sama pada tahun hadapan dengan menyasarkan penyertaan dari luar negara.

“Untuk itu, gambar pemenang pada kali ini akan dijadikan bahan promosi bagi memperkenalkan selat perairan Pulau Bum Bum sebagai destinasi selaman makro di Sabah.

“Kita juga akan menggunakan media sosial bagi mempromosikan fotografi makro ini dengan menggalakkan peserta menggunakan pagar #VM2020. Hasil gambar ini juga akan dipamerkan dalam setiap program yang dianjurkan Motac.

“Juri juga turut mencadangkan untuk mengumpulkan kesemua gambar ini dan menghasilkan buku ‘coffee table’ bagi membolehkan orang melihat kemahiran jurugambar yang terdapat di Sabah. Disamping itu, ia boleh digunakan bagi mengukur tahap perkembangan jurugambar ini pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Penganjur Bersama Festival Fotografi Dasar Laut Sabah 2019 (Edisi Makro) Zamzani Pandikar Amin berkata, penglibatan syarikatnya, Empire Scuba dalam program itu bertujuan membantu mempromosikan konservasi hidupan marin disamping, mempromosikan produk selaman yang terdapat di Sabah.

“Menerusi program ini, kita dapat membantu melahirkan bakat-bakat tempatan dalam fotografi dasar laut.

“Kita mahu membantu menaikkan jurugambar tempatan agar mereka boleh berada pada satu tahap dan standard yang lebih tinggi.

“Atas sebab itu, kita bekerjasama dengan Motac Sabah untuk membawa standard antarabangsa masuk ke Sabah dalam bidang fotografi dasar laut.

“Langkah sebegini akan membantu melahirkan generasi pelapis dalam bidang ini. Apabila orang lama sudah bersara, kita seharusnya sudah melahirkan generasi baharu dalam bidang fotografi dasar laut.

“Kita harus memperkenalkan Sabah menerusi gambar kepada masyarakat dunia kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada kata-kata tanpa menunjukkan gambaran yang jelas kepada dunia.

“Saya percaya dengan sedikit bimbingan, jurugambar dasar laut di Sabah boleh mencapai tahap antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai pengedar peralatan selaman, Empire Scuba mahu mendidik orang baharu mengenai cara penggunaan peralatan dan bukannya memberi tumpuan kepada jualan semata-mata.

“Maka, kami akan memberi fokus kepada usaha menganjurkan bengkel dan program untuk memberi pengalaman secara langsung kepada peminat fotografi dasar laut tentang cara dan teknik menggunakan peralatan kamera dengan betul,” ujarnya.