Senarai Calon Warisan Dikemukakan Dalam Masa Terdekat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengemukakan senarai calon mereka dalam masa terdekat ini.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau telah meminta semua pimpinan parti untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

Katanya, senarai itu akan diperhalusi agar calon yang ada tidak melompat jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kita mahu pastikan calon itu boleh menang kerana tiada ertinya pilih calon ada kelulusan dan wang tapi bila dia menang, dia akan melompat,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Warisan, di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, Warisan dan rakan sekutu lain seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pakatan Harapan (PH) Plus akan terus bertanding dimana-mana kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Untuk 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, agihan kerusi itu akan disusun atur dengan baik.

Kemudian ditanya tentang kemungkinan peratusan mengundi rendah, ADUN Senallang ini berkata, beliau faham keadaan Covid-19 ketika ini.

Namun, beliau akan melihat bagaimana untuk memastikan ramai yang turun mengundi.

“Kita akan lakukan tugas kita. Jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tasik Chin dan Slim River boleh buat, tidakkan kita tidak boleh buat,” ujarnya.

Katanya, PRN Sabah akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dan di peringkat negeri, ada Pusat Arahan Covid-19 yang sentiasa memberi peraturan untuk berdepan dengan pilihan raya.