Semua Ahli Parlimen Warisan Ikrar Tidak Tinggalkan Parti

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Kesemua Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) telah berjanji bahawa mereka tidak akan mengkhianati mandat rakyat dengan melompat parti untuk menyokong parti politik yang lain.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, lapan Ahli Parlimen Warisan  telah menolak dakwaan bahawa mereka akan berpaling tadah, susulan laporan media Harian Metro dan media sosial yang tidak berasas berkenaan ahli pahlimen tersebut.

Antara Ahli Parlimen yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut ialah Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar), dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

“Kami dengan tegas menolak semua khabar angin yang tidak berasas itu dan ingin menjelaskan bahawa laporan dan kenyataan yang dikeluarkan adalah sama sekali tidak benar.

“Kesemua Ahli Parlimen daripada Warisan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal, yang juga merupakan Ahli Parlimen untuk Semporna dan kami akan terus kekal berdiri teguh bersama Ketua Menteri pada waktu yang sungguh mencabar bagi negara kita hari ini,”kata kenyataan itu.

Kesemua Ahli Parlimen tersebut menyatakan bahawa fokus utama mereka adalah untuk membantu kawasan mereka masing-masing susulan cabaran yang wujud akibat pandemik Covid-19 ini.

Tambah kenyataan itu, mereka akan cuba sedaya upaya walau sedikit pun untuk menangani masalah yang timbul akibat pandemik ini, meskipun tanpa persidangan Parlimen.

“Khabar angin berunsur skandal seperti ini hanya mencerminkan keterdesakan pemerintah Perikatan Nasional untuk mendapatkan dan mempertahankan majoriti tipisnya di Parlimen sebelum sesi Julai ini di mana undi tidak percaya menanti perdana menteri sekarang.

“Perkara ini telah mencetuskan ‘perbelanjaan membeli-belah’ yang tidak beretika dari ahli Parlimen, tetapi bukan  kami. Kami tidak akan mengkhianati amanah rakyat. Kami tetap berpegang teguh pada prinsip kami,” kata kenyataan itu.