Semua Agensi, Jabatan Kerajaan Perlu Wujudkan Unit Inovasi – Hajiji

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini disaran untuk mengwujudkan unit inovasi di agensi masing-masing dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jangkaan orang ramai terhadap sistem penyampaian dan prestasi perkhidmatan awam sangat tinggi dan mereka mahu penjawat awam sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Penjawat awam merupakan aset penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan kepada pembangunan negara dan negeri. Oleh itu, mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan nilai yang positif.

“Anggota perkhidmatan awam perlu cemerlang dalam semua aspek bagi memastikan kejayaan sektor perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya selepas melancarkan Portal Inovasi Perkhidmatan Awam (PIPA) melalui persidangan video, di sini hari ini.

Mengenai portal itu, Hajiji berkata, laman portal itu akan membantu mempromosikan agenda inovasi perkhidmatan awam.

Katanya, PIPA merupakan inisiatif terbaik yang dibangunkan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran). Ini adalah portal terbaik dalam membantu perkongsian maklumat disamping mempamerkan bakat inovatif dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Menyentuh tentang penganjuran anugerah itu, Hajiji berkata usaha ini merupakan kesinambungan kepada tradisi bagi mengiktiraf inisiatif inovasi bagi sektor awam negeri dan persekutuan.

“Saya percaya pertandingan sebegini akan menjadi medium terbaik untuk semua kementerian, jabatan dan agensi dalam menyumbangkan budaya kerja yang cemerlang melalui idea inovatif semua peserta,” ujarnya.

Dalam pelancaran itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Khas Inovasi Ketua Menteri kepada pasukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) atas kejayaan membangunkan pengesanan kontak Sabah Trace. JPANS membawa pulang trofi dan wang tunai RM30,000.

Selain itu, JPANS turut memenangi Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri atas kejayaan menghasilkan portal maklumat Covid-19 dan jabatan itu menerima trofi dan wang tunai RM5,000.

Untuk Anugerah Setiausaha Kerajaan Persekutuan Sabah, Pasukan Ratu dari Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth dinobatkan sebagai penerima atas usaha mereka menghasilkan Sistem Pengurusan Imej Radiologi. Pasukan ini membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Disamping itu, lapan anugerah sampingan turut disampaikan kepada penerima.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Seri Sr Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Samsuni Mohd Noor, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Datu Rosmadi Sulai, Timbalan SKN (Pentadbiran) Mariam Omar Matussin dan Pengarah MAMPU Shahril Nizam Shahidin.