Semporna Bakal Terima Khidmat Pos Bomba Atas Air Pertama

407

KOTA KINABALU: Semporna akan menjadi daerah pertama dalam projek penubuhan Pos Perlindungan Keselamatan Kebakaran Bomba Atas Air bagi menangani isu kesukaran operasi di kawasan atas air.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pembinaan pos tersebut berfungsi dalam memberikan respons dalam aspek pemadaman, penyelamatan dan juga aspek Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) kepada kawasan-kawasan yang berdekatan.

“Kita telahpun merancang untuk mengadakan pos-pos perlindungan keselamtan kebakaran dan juga kebombaan di tempat-tempat yang kita telah kenal pasti.

“Projek pertama adalah di Semporna berdekatan dengan pulau Bum-bum yang mana kita bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan pos pasukan bomba di Kampung Air.

“Ini ekoran daripada terlalu banyak kes kebakaran berlaku dan apabila bomba respond, didapati bahawa tatacara kita dengan keadaan balai bomba yang sedia ada ini tidak begitu berkesan,” katanya dalam satu sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 JBPM Sabah di Hotel Ming Garden, hari ini.

Tambahnya Pos Perlindungan Keselamatan Kebakaran Bomba Atas Air tersebut akan digerakkan oleh Pasukan Bomba Sepenuh Masa dengan kelengkapan tiga bot sebagai aset operasi.

“Kita akan letakkan orang-orang pakar di dalam penyelamatan di air serta kebakaran atas air menggunakan bot.

“Sebanyak tiga kelengkapan kita sediakan seperti bot untuk operasi pemadaman kebakaran, mencari dan menyelamat serta ‘water ambulance’,” jelasnya.

Katanya Pos Perlindungan Keselamatan Kebakaran Bomba Atas Air akan diperbanyakkan namun akan diwujudkan secara berperingkat mengikut keupayaan kewangan jabatan dan kelulusan kerajaan.

Menurutnya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong, kerajaan turut berhasrat untuk membina balai bomba formal sebagai pembangunan masa hadapan di pulau Bum-bum.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkesempatan menyempurnakan pemakaian Pingat Kebesaran Jabatan kepada 16 pegawai bomba seluruh negeri dan menyampaikan APC kepada 70 pegawainya pada majlis berkenaan.

Pada majlis berkenaan juga, Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah menyerahkan replika cek bernilai RM18,400 kepada tabung Wira Merah hasil daripada penganjuran perlawanan bola sepak tiga penjuru antara Bomba Sabah, Persatuan Pemain Bola Sepak Sabah tahun 90-an (SS90) dan Jabatan Penyiaran Sabah (RTM) melalui Mohammad Hamdan.

Tabung tersebut ditubuhkan bagi mengumpulkan dana bantuan kepada waris pegawai bomba yg terkorban semasa bertugas.